Perlembagaan

UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN KEGIATAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA (PINDAAN 2008)

1.Nama
Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERTUBUHAN KEGIATAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA  ("PEKDIS") selepas ini disebut  'Pertubuhan'

2.Tempat Urusan

Alamat tempat urusan Pertubuhan ialah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aras 10 dan 11, Blok E12, Kompleks Kerajaan Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya atau di tempat lain yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Pusat. Tempat urusan Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

3.Tujuan
(1)Merapatkan ukhuwwah Islamiah antara semua Guru Pendidikan Islam (GPI), meningkatkan prestasi perkhidmatan dan profesionalisma GPI serta menjaga kebajikan GPI.
(2)Menjalinkan kerjasama dengan Jabatan dan Institusi Pendidikan dan juga dengan badan-badan dakwah dan agensi-agensi lain bagi menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
(3)Meningkatkan kualiti pengurusan Pendidikan Islam dan Dakwah melalui perkongsian idea dan pengalaman di semua peringkat.
(4)Mendukung dan mengamalkan prinsip-prinsip falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam.
(5)Membantu pelaksanaan aktiviti dakwah dan kokurikulum Pendidikan Islam di sekolah.
(6)Menerima derma, tajaan dan sumbangan dengan syarat telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan atau lain-lain agensi yang berkaitan.
(7)Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan kewangan di cawangan-cawangan PEKDIS seluruh negara dengan mendapat kelulusan Mesyuarat Agung terlebih dahulu.
(8)Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti – aktiviti yang memberi perkhidmatan, kebajikan kepada semua ahli dari segi pendidikan, kerjaya dan kesihatan.



4. Keahlian
(1) Ahli biasa adalah terbuka kepada :
(i)Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di institusi – institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan.
(ii)Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dirujuk di Fasal 4 (1)
(i) yang telah pencen.
(iii)Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dirujuk di Fasal 4 (i) yang sedang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah atau Pejabat Pelajaran Bahagian.
(2)Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Cawangan tempatan yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Cawangan untuk diluluskan. Jawatankuasa Cawangan boleh, mengikut budibicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. Permohonan menjadi ahli bagi tempat di mana cawangan belum ditubuhkan, hendaklah diuruskan mengikut kaedah itu juga oleh Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Pusat.
(3)Tiap-tiap permohonan yang telah diluluskan seperti tersebut di atas hendaklah, setelah membayar yuran tahunan yang ditetapkan, diterima menjadi ahli pertubuhan ini dan berhaklah ia sebagai ahli.

5. Yuran dan Bayaran Lain
(1)Yuran tahunan ialah sebanyak RM12.00 (Ringgit : Dua belas sahaja).
(2)Yuran tahunan di atas hendaklah dibayar kepada Bendahari Cawangan pada tiap-tiap tahun selewat-lewatnya pada 28 Februari.
(3)Ahli yang tidak membayar hutangnya dalam masa 3 bulan selepas tarikh 28 Februari akan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Ahli Jawatankuasa Pusat boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(4)Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi mereka yang tela membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(5)Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat perwakilan pertubuhan.


6. Pemberhentian dan Pemecatan Ahli
(1)Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi Ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Cawangan atau Setiausaha Agung jika berkenaan dan membayar apa-apa hutang yang masih tertunggak.
(2)Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dalam cara yang mencemarkan nama baik Pertubuhan bolehlah dipecat atau digantungkan keahliannya dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Cawangan. Sebelum Jawatankuasa Cawangan memecat atau menggantungkan ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang menerangkan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan ini hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung Cawangan menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

7. Mesyuarat Perwakilan
(1)Bagi undang-undang ini, seorang “ahli terus” maknanya ialah seorang ahli pertubuhan yang tidak menjadi ahli cawangan.
(2)Pentadbiran pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat perwakilan yang mengandungi wakil-wakil cawangan dan ahli-ahli jawatankuasa pusat. Sebarang ahli pertubuhan, dengan persetujuan Yang Di Pertua boleh hadir di dalam mesyuarat perwakilan tetapi ia tidak boleh bercakap atau mengundi.
(3)Wakil-wakil cawangan hendaklah dipilih tiap-tiap tahun oleh cawangan masing-masing dan mereka boleh dipilih semula. Sesuatu cawangan berhak memilih 1 wakil bagi 25 ahli yang pertama atau sebahagian daripada jumlah itu dengan syarat jumlah wakil bagi sesuatu cawangan tidak lebih daripada 10 orang.
(4)Ahli Jawatankuasa Pusat tidak boleh dipilih menjadi wakil-wakil cawangan. Ahli Jawatankuasa Pusat dan wakil-wakil cawangan. Ahli Jawatankuasa mengundi di dalam mesyuarat perwakilan.
(5)Kuorum untuk mesyuarat perwakilan dianggap cukup jika wakil-wakil yang hadir, tidak kira jumlahnya mewakili lebih daripada setengah (1/2) bilangan cawangan-cawangan dan lebih daripada setengah (1/2) jumlah wakil ahli-ahli terus pertubuhan.
(6)Jika kourum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat ; dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah wakil-wakil yang hadir menjalankan mesyuarat pada hari itu tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.
(7)Mesyuarat Tahunan Perwakilan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mei pada masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat.

Kerja-kerja Mesyuarat Tahunan Perwakilan ialah :
(a)Menerima Laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang lalu ;
(b)Menerima laporan Bendahari Agung dan penyata kewangan yang telah diauditkan bagi tahun yang lalu ;
(c)Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan dua orang Juruaudit untuk tahun yang akan datang ; dan
(d)Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam Mesyuarat itu.

(8)Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan mengemukan cadangan untuk perbincangan, cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat, hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agung kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 60 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat, dan pengumuman ini hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di tempat urusan pertubuhan yang telah didaftarkan. Tiap-tiap Setiausaha Cawangan hendakla mengadakan mesyuarat agung tahunan cawangan tidak lewat daripada 30 hari setelah menerima pengumuman awal itu.
(9)Nama-nama wakil, pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk dibincangkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan atau ahli-ahli secara individu supaya sampai ke Setiausaha Agung tidak lewat daripada 40 hari selepas penerimaan pengumuman awal mesyuarat. 
(10)Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada Setiausaha Cawangan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan, cadangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai beserta dengan penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendalah diberikan kepada tiap-tiap wakil cawangan dan salinan surat itu boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan pertubuhan atau di pejabat-pejabat cawangan.

(11)Mesyuarat Khas Perwakilan bagi Pertubuhan ini boleh diadakan :

(a)Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat ; atau
(b)Atas permintaan dengan bertulis oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi dua cawangan dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

(12)Mesyuarat Khas Perwakilan yang diminta oleh Cawangan hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(13)Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Khas Perwakilan itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan oleh Setiausaha Agung, sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

(14)Fasal 7 (5) dan (6) undang-undang ini berkenaan kourum dan penangguhan Mesyuarat Tahunan Perwakilan boleh digunakan untuk Mesyuarat Khas Perwakilan, tetapi dengan syarat jika kourum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Khas Perwakilan itu atas permintaan cawangan-cawangan, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Khas Perwakilan yang dipohon dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(15)Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan salinan rangka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Tahunan Perwakilan atau Mesyuarat Khas Perwakilan dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu. 

8. Jawatankuasa Pusat
(1) (a)Satu Jawatankuasa Pusat seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan :
-Seorang Yang Di Pertua
-Timbalan Yang Di Pertua
-Seorang Naib Yang Di Pertua 1
-Seorang Naib Yang Di Pertua 2
-Seorang Setiausaha Agung
-Seorang Penolong Setiausaha Agung
-Seorang Bendahari Agung -22 orang Ahli Jawatankuasa Biasa (15 orang adalah wakil
cawangan)
(YDP PEKDIS hendaklah disandang oleh Pengarah Bahagian Dakwah dan Kepimpinan JAPIM dan barisan Exco Pusat adalah pegawai JAPIM, sementara Pengerusi Cawangan perlu dipegang oleh Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral Negeri)
(b)Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Pusat dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif di dalam Pertubuhan ini hendaklah warganegara Malaysia.


(2) Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan djalankan dengan cara mengundi oleh wakil-wakil cawangan di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan. Semua pegawai, kecuali Bendahari Agung boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.


(3) Fungsi Jawatankuasa Pusat ialah mengelola dan mengatur kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar Am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa Pusat mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya dalam tahun lalu kepada Mesyuarat Tahunan Perwakilan.

(4) Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan dan 30 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli. Yang Di Pertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 3 orang ahli Jawatankuasa Pusat boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kourum mesyuarat.

(5) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Pusat dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pusat secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Pusat boleh dianggap sebagai telah diterima :
(a)Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Pusat;
(b)Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu ; dan
(c)Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebanyak keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan d dalam peringatan mesyuarat. 


(6) Ahli Jawatankuasa Pusat yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.

(7) Jika seorang ahli Jawatankuasa Pusat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa Pusat melantik ahli Pertubuhan yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Tahunan Perwakilan diadakan.

(8) Jawatankuasa Pusat boleh memberi perintah kepada Setiausaha Agung dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Pertubuhan. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa Pusat atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.


9. Kewajipan-kewajipan Pegawai
(1)Yang Di Pertua, dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Perwakilan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.
(2)Timbalan Yang Di Pertua hendaklah memangku jawatan Yang Di Pertua semasa ketiadaannya.
(3)Naib Yang Di Pertua 1 hendaklah membantu menjalankan tugas-tugas semasa ketiadaan Yang Di Pertua dan Timbalan Yang Di Pertua. 
(4)Naib Yang Di Pertua 2 hendaklah membantu Yang Di Pertua, Timbalan Yang Di Pertua dan Naib Yang Di Pertua 1 dan menjalankan tugas-tugas semasa ketiadaan mereka.
(5)Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama Yang Di Pertua dan Bendahari Agung.
(6)Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agung.
(7)Bendahari Agung adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah menyimpan akaun bagi semua urusan kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Di Pertua dan Setiausaha Agung.
(8)Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa Pusat menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


10. Kewangan
(1)Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Pertubuhan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan termasuklah belanjaan pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira. Walaubagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2)Bendahari Agung dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM500.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan di dalam tempoh tujuh hari ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat. Kira-kira bank itu hendaklah d atas nama Pertubuhan.
(3)Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangan bersama oleh Yang Di Pertua (atas ketiadaannya oleh Timbalan Yang Di Pertua), Setiausaha Agung dan Bendahari Agung. Semasa ketiadaan Setiausaha Agung atau Bendahari Agung, maka bolehlah Jawatankuasa Agung melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.
(4)Perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (Ringgit : Sepuluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Cawangan, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM50,000.00 (Ringgit : Lima Puluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Jawatankuasa Pusat terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM10,000.00 (Ringgit : Sepuluh Ribu Sahaja) boleh diluluskan oleh Yang Di Pertua bersama Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.
(5)Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan dan diperiksa oleh juruaudit yang dilantik di bawah FASA 11 dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang berikutnya dan salinan boleh diperolehi untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan yang berdaftar dan dari pejabat tiap-tiap negeri.
(6)Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula daripada 1 hb Januari sehingga 31 hb Disember tiap-tiap tahun.


11. Juruaudit
(1)Dua orang bukannya pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula. 
(2)Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Tahunan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri. Mereka harus juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Di Pertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.

12. Pengamanahan
(1)Tiga orang Pengamanahan yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tak alih yang dipunyai oleh Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
(2)Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik dan menukar harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Perwakilan.
(3)Seseorang Penagmanahan itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Perwakilan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugas atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pengamanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pengamanah baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Perwakilan dengan secepat mungkin.

13. Pembubaran
(1)Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) jumlah semua ahli yang hadir di dalam Mesyarat Perwakilan yang dipanggil khas kerananya.

(2)Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Perwakilan berkenaan.
(3)Kenyataan mengenai pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa 14 daripada tarikh pembubaran itu.

14. Penubuhan dan Pembubaran Cawangan-Cawangan
(1)Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan cawangan di kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 ahli Pertubuhan. Penubuhan cawangan hendaklan dibenarkan secara bertulis oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
(2)Jawatankuasa Pusat boleh membubarkan cawangan :
(a)Jika bilangan ahli-ahli di dalam tempoh enam bulan berturut-turut kurang daripada 25 ; atau
(b)Jika cawangan tidak mematuhi undang-undang Pertubuhan atau keputusan Mesyuarat Perwakilan atau Jawatankuasa Pusat atau jika Jawatankuasa Pusat mendapatinya bersalah kerana perbuatannya mencemarkan Pertubuhan.
(3)Keputusan membubarkan cawangan hendaklah dengan undi terbanyak di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, dengan syarat sebelum diambil keputusan membubarkan cawangan atas sebab yang disebutkan di dalam fasa 14(2) (b) di atas, cawangan yang berkenaan hendaklah diberi suatu notis selama 30 hari terlebih dahulu dan diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.
(4)Perintah pembubaran hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Agung. Cawangan tidak boleh bergerak mulai dari tarikh penerimaan perintah tersebut kecuali untuk urusan penyelesaian. Sebarang Cawangan yang musykil atas perintah pembubaran boleh, dengan kenyataan bertulis kepada Setausaha Agung di dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan perintah tersebur, membuat rayuan kepada Mesyuarat Perwakian. Walaupun rayuan telah dibuat namun perintah pembubaran masih berkuatkuasa sehingga dibatalkan tetapi di dalam keadaan yang sedemikian Jawatankuasa Pusat boleh melantik satu jawatankuasa penjaga daripada ahli-ahli untuk menguruskan hal ehwal Cawangan itu sementara rayuan tersebut dipertimbangkan.
(5)Jika sesuatu Cawangan ditutup kerana sebab yang disebutkan dalam fasa 14 (2) (a) di atas, maka Jawatankuasa Pusat hendaklah memindahkan ahli-ahli yang ada kepada Cawangan yang hampir sekali, dan jika cawangan di tutup kerana sebab di dalam peraturan 14 (2) (b) di atas maka ahli-ahli akan terhenti menjadi ahli Pertubuhan.
(6)Adalah menjadi kewajipan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari bagu cawanga itu menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lainnya yang dimiliki oleh cawangan beserta dengan penyata kira-kira cawangan itu daripada tarikh akhir pengemukaan penyata kira-kira itu dibentangkan sehingga tarikh perintah pembubaran.
(7)Jika ahli-ahli sesuatu Cawangan memutuskan hendak keluar daripada Pertubuhan, maka pegawai-pegawai Cawangan itu dengan serta merta mestilah menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lain Pertubuhan dan seterusnya menyedia dan menyerahkan penyata kira-kira kepada Setiausaha Agung seperti di dalam fasa 14 (6) di atas.


15. Mesyuarat Agung Cawangan
(1)Mesyuarat Agung Tahunan cawangan akan diadakan tidak lewat daripada 30 hari selepas menerima pemberitahu awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan supaya pemberitahu awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan, supaya pemberitahu mengenai masa, tarikh dan tempat Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan akan dikeluarkan dengan sewajarnya.
(2)Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ialah untuk : 
(a)Menerima laporan Bendahari Cawangan dan Kira-Kira Cawangan yang telah diaudit bagi tahun lepas.
(b)Memilih wakil-wakil Mesyuarat perwakilan untuk tahun hadapan.
(c)Memilih Jawatakuasa Cawangan dan Juruaudit Cawangan untuk tahun hadapan.
(d)Membincangkan perkara-perkara lain yang akan dibentangkan.
(3)Setiusaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan pemberitahu awal yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat, panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai cawangan.
(4)Pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk perbincangan di dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 7 hari selepas penerimaan pemberitahu awal mesyuarat.
(5)Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, satu agenda (acara mesyuarat) termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan beserta dengan penyata kira-kira cawangan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan cawangan.
(6)Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli-ahli cawangan berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa cawangan, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Masyuarat Agung Tahunan Cawangan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kuorum untuk mesyuarat.

(7)Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang hendak ditetapkan untuk masyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 7 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan, dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli yang berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
(8) Suatu Mesyuarat Agung Khas Cawangan hendaklah diadakan :
(a)Atas arahan Jawatankuasa Pusat ; atau
(b)Apabila Jawatakuasa Cawangan memikirkannya mustahak ;
(c)Atas permintaan bertulis tidak kurang daripada 1/2 ahli-ahli Cawangan dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan mesyuarat itu.
(9)Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli hendaklah diadakan dalam tempoh 15 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut.
(10)Fasal 15 (6) dan 15 (7) di dalam undang-undang ini berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas Cawangan, tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli tersebut, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(11)Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli dan Setiausaha Agung satu salinan draf catatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Cawangan dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


16. Jawatankuasa Cawangan
(1) (a)Sesuatu Jawatakuasa Cawangan seperti berikut yang akan dikenali sebagai pemegang jawatan Cawangan, akan dipilih pada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan :
(i) Seorang Pengerusi Cawangan ; 
(ii)Seorang Naib Pengerusi Cawangan :
(iii)Seorang Setiausaha Cawangan;
(iv)Seorang Penolong Setiusaha Cawangan;
(v)Seorang Bendahari Cawangan;
(vi)Bagi cawangan di peringkat negeri, Ahli Jawatankuasa biasa adalah mengikut bilangan pejabat Pelajaran Daerah/ Pejabat Pelajaran Gabungan atau sekurang-kurangnya 6 orang Ahli Jawatankuasa biasa.
(b)Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Cawangan dan tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam Cawangan hendaklah warganegara Malaysia.
(2)Pekerjaan Jawatankuasa Cawangan ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Cawangan mengikut Undang-undang Pertubuhan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Cawangan hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan dan cukup kuorum jika hadir satu perdua (1/2) daripada ahli-ahlinya. Setiausaha Cawangan akan member satu salinan peringatan tiap-tiap mesyuarat kepada Setiusaha Agung tidak lewat daripada 31 Mac, selepas mesyuarat itu diadakan.


17. Tugas Pegawai-Pegawai Cawangan
(1)Pengerusi Cawangan dalam tempoh memegang jawatannya akan menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung Cawangan dan semua mesyuarat jawtankuasa cawangan serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat setelah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek cawangan berasama-sama dengan setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan.

(2)Naib Pengerusi Cawangan akan memangku jawatan Pengerusi Cawangan semasa ketiadaannya.
(3) Setiausaha Cawangan hendaklah menjalankan kerja-kerja cawangan mengikut undang-undang dan ia hendaklah menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Cawangan dan Jawatankuasa Cawangan. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat cawangan dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Cawangan bersama-sama dengan Pengerusi Cawangan dan Bendahari Cawangan.
(4) Penolong Setiausaha Cawangan hendaklah membantu Setiausaha Cawangan menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu dalam masa ketiadaannya.
(5) Bendahari Cawangan adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan cawangan. Ia hendaklah mengurus dan menyimpan kira-kira mengenai urusan kewangan cawangan bertanggungjawab di atas ketepatannya.
(6) Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan hendaklah membantu Jawatankuasa Cawangan menjalankan sebarang tugas yang diarahkan olehnya.

(7) Pengerusi Ahli Jawatankuasa Cawangan bertanggungjawab menubuhkan biro-biro seperti berikut :
-Biro Dakwah dan Kepimpinan
-Biro Pendidikan
-Biro Kebajikan
-Biro Ekonomi
-Biro Latihan
-Biro Penyelidikan dan Penerbitan


(8) Tugas dan tanggungjawab setiap biro adalah seperti berikut :
-Biro Dakwah dan Kepimpinan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan dan sahsiah diri kepada ahli. 
-Biro Pendidikan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti yang dapat meningkatkan mutu pendidikan dan profesionalisme para ahli dan kecemerlangan pelajar.
-Biro Kebajikan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat menjaga kebajikan ahli dari segi pendidikan, kerjaya, kesihatan, kematian dan sebagainya.
-Biro Ekonomi hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan ekonomi ahli.
-Biro Latihan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan profesionalisme ahli melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain di bidang latihan, kemahiran, kursus dalam perkhidmatan, seminar, bengkel dan sebagainya.
-Biro Penyelidikan dan Penerbitan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti penyelidikan untuk mendapatkan maklumat atau input-input yang berguna bagi pembangunan dan pemantapan pertubuhan serta bertanggungjawab menerbitkan bahan-bahan bercetak yang sesuai di bidang pendidikan.


18. Kewangan Cawangan
(1)Cawangan akan menyerahkan RM1.00 daripada RM12.00 yang dikutip oleh ahli-ahli Cawangan kepada Jawatankuasa Pusat.
(2)Walaubagaimanapun, Mesyuarat Tahunan Perwakilan mempunyai hak untuk menentukan dari masa ke semasa peratusan kadar yuran yang akan disimpan di Cawangan sebagai kumpulan wang Cawangan dan akan menetapkan jenis-jenis perbelanjaan yang akan menggunakan wang Cawangan.

(3)Tiap-tiap Bendahari Cawangan akan menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15hb Mac tiap-tiap bulan yuran-yuran yang diterima oleh cawangan setelah ditolak peratusan yang disimpan sebagai kumpulan wang Cawangan. 
(4) Bendahari Cawangan akan juga menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15hb Mac tiap-tiap bulan suatu penyata pendapatan dan perbelanjaan Cawangan bagi bulan lepas.
(5) Semua wang Cawangan hendaklah disimpan di atas nama Cawangan di dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Cawangan dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Pengerusi Cawangan , Bendahari Cawangan dan Setiausaha Cawangan. Bendahari Cawangan dibenarkan menyimpan wang di dalam tangan sebanyak tidak lebih daripada RM250.00 (Ringgit : Dua Ratus Lima Puluh Sahaja) pada suatu masa. Perbelanjaan yang melebihi RM5,000.00 (Ringgit : Lima Ribu Sahaja) bagi suatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperolehi terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Cawangan dan perbelanjaan yang kurang RM5,000.00 (Ringgit : Lima Ribu sahaja) bagi suatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi Cawangan dan Bendahari Cawangan.
(6) Semua wang, buku dan harta-harta lain Pertubuhan yang dipegang oleh mana-mana Cawangan yang telah dibubarkan akan dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Agung, bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagaimana dinyatakan pada Fasal 14 (6) dan (7).


19. Peruntukan-peruntukan Umum Mengenai Cawangan
(1)Di mana peruntukan khas tiada disebut di dalam Undang-undang ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran Cawangan-cawangan Pertubuhan, undang-undang yang berkenaan mengenai pentadbiran Ibu Pejabat Pertubuhan akan diikuti sejauh mana yang sesuai.
(2) Mesyuarat perwakilan dan Jawatankuasa Pusat akan memberi arahan kepada Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Cawangan mengenai pentadbirannya.


20.Pindaan Undang-undang
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan. Permohonan untuk perubahan dan pindaan undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Perwakilan meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.


21. Tafsiran Undang-undang
(1)Di antara berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat perwakilan, Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa Pusat, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2)Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Perwakilan, keputusan Jawatankuasa Pusat terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Perwakilan.


22. Larangan
(1)Pertubuhan ini tidak boleh mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung di dalam kegiatan politik.
(2)“Faedah“ seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahli.
(3)Mana-mana orang tidak boleh memegang jawatan, menjadi penasihat atau pekerja Pertubuhan ini jika ia telah hilang kelayakan berbuat demikian menurut Seksyen 9A Akta Pertubuhan, 1966. 



Yang Di Pertua                                                       Setiausaha Agung
Nama : Haji Razak Bin Draman                            Nama : Mat Ali bin Abu Bakar